Tuesday, November 16, 2010

Selepas kuasai ekonomi...


ANDAIAN sebelum ini bahawa kaum Cina hanya berminat untuk menguasai ekonomi sementara kuasa politik akan terus dipegang oleh orang Melayu, nampaknya tidak lagi begitu. Pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 membuktikan bahawa banyak pihak kaum Cina sedang mengasak habis-habisan untuk turut sama menguasai politik negara ini.

Makin banyak petunjuk ke arah itu termasuk menerusi laporan media tertentu khususnya berbahasa Cina yang mempromosi sentimen sedemikian. Mesej yang boleh dibaca ialah banyak kalangan kaum Cina sudah tidak berpuas hati dengan sekadar menguasai ekonomi?

Persoalannya apakah yang akan berlaku jika kaum Cina juga menguasai politik dan di mana kedudukan Melayu nanti? Penulis lontarkan persoalan ini untuk renungan kita semua lebih-lebih lagi kedudukan Melayu kini makin kritikal. Apa sahaja yang tinggal pada Melayu mahu dirungkai termasuk yang termaktub dalam perlembagaan negara. Realitinya walaupun Melayu menguasai politik tetapi yang lebih berkuasa di negara ini adalah kaum Cina disebabkan penguasaan dalam ekonomi yang amat ketara. 

Di sebalik banyak rungutan terhadap dasar kerajaan, sebenarnya kaum Cina paling banyak mendapat nikmat. Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilaksanakan sebelum ini hanya memberikan kouta 30 peratus kepada bumiputera tetapi penguasaan 70 peratus terus dinikmati oleh masyarakat usahawan Cina yang sudah membentuk kartel mega, selain berlaku gejala ali baba dan ketirisan dalam 30 peratus kouta bumiputera.

Jika Melayu dibantu dalam bidang perniagaan ia dianggap tongkat tetapi jika syarikat-syarikat Cina diselamatkan oleh kerajaan, ia didiamkan sahaja. Jika banyak usahawan bukan Melayu mendapat bisnes monopoli seperti gula, stesen televisyen satelit, stesen janakuasa bebas dan sebagainya sehingga menjadi kaya raya dan mengalihkan berbilion ringgit ke luar negara, ia juga tidak mengapa. Jika ada usahawan Melayu cuba menceburi bidang penguasaan usahawan Cina seperti membekalkan limau, ia akan diboikot sampai gagal. Namun jika ada usahawan bukan Melayu menguasai bisnes seperti pengedaran produk daging dan ayam halal, yang melibatkan pasaran orang Islam, itu dianggap biasa.

Penguasaan Cina dalam syarikat-syarikat swasta dan persendirian selain mengutamakan pekerja kaum itu juga bukan isu. Pada masa yang sama majoriti Melayu di sektor awam makin hebat dipersoalkan malah terus diperlekehkan.

Penulis bukanlah mahu bersikap rasis. Apa yang disuarakan ini sekadar menyanggah gelombang fitnah, tohmahan dan persepsi liar banyak pihak terhadap usaha meningkatkan pencapaian bumiputera, yang masih jauh ketinggalan berbanding kaum Cina. Begitulah kebijaksanaan banyak pihak kaum Cina berpercaturan. Dalam mereka mengeluh dan merintih, mereka terus kaya dan berkuasa. Kouta untuk bumiputera mahu dihapuskan tetapi 'kouta khas' bukan bumiputera seperti bisnes berkaitan pusat hiburan, arak, judi dan maksiat yang mereka kuasai selama ini, tidak boleh disentuh sama sekali. 

Pada hari ini, kaum Cina yang merupakan 24 peratus penduduk negara ini menguasai ekonomi. Tradisi dan budaya niaga yang lama terpahat selain dasar kerajaan yang terbuka, membolehkan kaum Cina terus melonjak. Masyarakat Cina mempunyai simpanan wang yang banyak berbanding kaum lain dan itulah antara asas kekuatan ekonomi kaum itu. Sedangkan Melayu yang merupakan kaum majoriti terus keciciran. Bayangkan seketika jika Melayu lenyap kuasa politik?

Wednesday, November 10, 2010

Melayu Pulau Pinang Kritikal

Nasib Melayu Pulau Pinang di bawah pimpinan DAP harus dijadikan iktibar oleh orang Melayu di negeri lain berikutan keadaan mereka yang kini cukup kritikal. Wakil Pulau Pinang, Muhamad Farid Saad berkata, kerajaan negeri sekarang semakin melampau apabila membuka kawasan yang selama ini dipertahankan daripada dibangunkan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong memberi contoh satu lot tanah yang dikhaskan untuk penanaman padi sejak dahulu lagi di Sungai Burung telah dikeluarkan daripada kawasan yang digazetkan untuk tujuan itu.

“Satu kes lagi ialah sebahagian daripada kawasan di Taman Negeri juga telah dikeluarkan daripada senarai gazet berkenaan untuk dibangunkan kawasan perumahan. Ia akan membuka laluan untuk pembukaan kawasan lain dalam kategori yang sama. “Tidak hairan jika satu hari nanti tidak akan ada lagi sawah dan kehijauan hutan di Pulau Pinang. Saya berpendapat kes ini adalah contoh penyalahgunaan kuasa dan ia mesti dihentikan,” katanya.

Beliau berucap membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Kata Muhamad Farid, kajian Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang berdasarkan maklum balas daripada kesemua 13 ketua bahagian, 60 kelompok perkampungan orang Melayu meliputi 7,000 penduduk akan kehilangan tempat tinggal kerana rumah mereka sekarang ini dibina di atas tanah milik orang lain.
Menurutnya, Kerajaan Pusat perlu memandang serius perkara itu dengan menghalang kegiatan ‘membuka’ kawasan-kawasan yang dahulunya digazetkan untuk tujuan tertentu.

“Jika tidak lebih cepat masyarakat Melayu di Pulau Pinang akan diusir keluar. Ini adalah contoh kes pengusiran melalui polisi dan dasar selain daripada pengusiran secara fizikal, peminggiran secara psikologi dan pengusiran secara terang dan nyata. “Umumnya, Melayu adalah Islam dan Islam adalah Melayu. Menjaga keberadaan bangsa Melayu di Pulau Pinang bermakna mengekalkan keberadaan dan kewujudan Islam di sana. Ketiadaan Melayu bermakna tiadalah suara azan dan sunyilah masjid.

“Berkurangnya bangsa Melayu bermakna sepi masjid dan tenggelam suara azan. Tiada tanah bermakna tiada tempat tinggal. Justeru, sebagai generasi pewaris, saya ingin berpesan, jangan jadi seperti yang berlaku di Pulau Pinang,” tegasnya. Beliau seterusnya melontarkan persoalan bahawa menjelang 2020 apakah kerajaan sanggup melihat orang Melayu di Pulau Pinang akan hanya tinggal di rumah pangsa kos rendah di kala Malaysia diisytiharkan sebagai negara maju. “Malah, lebih teruk lagi mereka ini tidur dalam beca seperti 10 orang pengusaha beca Melayu Pulau Pinang. Mereka ini tidak mempunyai rumah dan tidur dalam beca. Kedudukan orang Melayu di Pulau Pinang selamat kerana tanah milik mereka berada di luar bandar dan zon pertanian.

“Hilang tanah, hilanglah Melayu, hilang Melayu, maka akan hilanglah UMNO. Mereka ini perlu dibela kerana merekalah yang akan membela UMNO nanti. Oleh itu, dengan penuh keinsafan, saya meminta Presiden UMNO dan semua agar cuba memahami masalah orang Melayu terutama di Pulau Pinang,” katanya.
Atas dasar itu, beliau turut mencadangkan agar Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera yang akan ditubuh nanti dapat diperkasa dan menjadi pemantau kepada penyertaan bumiputera di Pulau Pinang.

Tuesday, November 9, 2010

GEORGE TOWN, 1 Nov – Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang bermula hari ini menjadi “panas” dengan pertikaman lidah antara beberapa penyokong kerajaan negeri DAP itu dan pembangkang berhubung sumber wang ihsan kepada warga emas di negeri itu.

Dalam tempoh 30 minit selepas sesi soalan lisan bermula, suasana menjadi panas apabila Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan dan Masyarakat Penyayang, Phee Boon Poh, menjawab soalan  lisan berkaitan pemberian wang sebanyak RM100 kepada warga emas oleh kerajaan negeri.

Dalam menjawab soalan Jagdeep Singh Deo (DAP-Datok Keramat) itu, Phee berkata, tidak timbul isu wang judi digunakan kepada warga emas kerana peruntukan bantuan itu adalah termaktub dalam bajet 2010.
Beliau berkata sememangnya kerajaan negeri telah menerima wang sumbangan Penang Turf Club sebanyak RM2 juta tetapi ia adalah pada tahun 2010 dan wang itu tidak digunakan kerana ia bukanlah wang dalam peruntukan bajet 2010.

Phee berkata Umno telah memfitnah kononnya wang RM100 itu adalah wang judi sedangkan peruntukan untuk bantuan warga emas itu telah diluluskan dalam bajet 2010 pada sidang dewan tahun 2009 manakala wang dari Penang Turf Club hanya diterima pada tahun ini.

Datuk Arif Shah Omar Shah (BN-Seberang Jaya) kemudiannya berkata, apa yang berlaku ialah umat Islam di Pulau Pinang berasa was-was dengan wang itu setelah Ketua Menteri Lim Guan Eng sendiri mengakui telah menerima wang sumbangan kelab lumba kuda itu.

“Kita was-was dengan wang itu sebab Ketua Menteri sendiri mengaku telah menerima wang judi dan kerajaan kononnya telah membuka dua akaun berasingan untuk bantuan kepada orang Islam dan untuk bukan Islam. Adakah jawapan Exco Kebajikan (Phee) ini menggambarkan bahawa Ketua Menteri telah berbohong?” katanya.

Arif Shah juga menempelak Phee yang bercakap mengenai hukum-hakam Islam dalam memberi jawapannya.
Speaker Datuk Abdul Halim Hussein kemudiannya menenteramkan keadaan dengan meminta semua anggota dewan supaya tidak menjerit-jerit sebaliknya hendaklah  bercakap dengan sopan.
Seorang penyokong kerajaan R.S.N.Rayer (DAP-Sri Delima) mendakwa pemimpin Umno telah membuat fitnah dan telah memburuk-burukkan Lim kononnya sebagai seorang pembohong.
Beliau mahu kerajaan mengambil tindakan terhadap wakil rakyat BN.

Jagdeep Singh kemudiannya meminta kerajaan negeri melantiknya sebagai peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemimpin Umno yang didakwanya telah membuat fitnah.
Ketua pembangkang Datuk Azhar Ibrahim (BN-Penaga) kemudiannya meminta penjelasan Lim mengenai jawapan Phee yang bercanggah dengan kenyataan ketua menteri itu.
Katanya Lim harus bertanggungjawab kerana kenyataannya kepada media bahawa kerajaan negeri menerima sumbangan wang kelab lumba kuda dan membuka dua akaun berasingan itu telah menyebabkan umat Islam menjadi was-was dan mengambil tindakan untuk memulangkannya semula kepada kerajaan.

Datuk Jasmin Mohamad (BN-Sungai Dua) pula berkata Phee gagal membuktikan bahawa sememangnya wang hasil sumbangan kelab lumba kuda itu diasingkan walaupun mendakwa ianya tidak digunakan.
Lim bagaimanapun tidak melayan asakan oleh wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sebaliknya hanya menjawab soalan seorang lagi penyokong kerajaan Koid Teng Guan (DAP-Sungai Pinang) mengenai status pengorekan pasir di kawasan Genting dan Sungai Rusa di Balik Pulau.
Katanya kerajaan negeri tidak mengenakan bayaran royalti terhadap pemilik tanah berstatus gred satu itu.