Friday, July 8, 2011

Perhimpunan Bersih 2.0

Mengenai Perhimpunan Bersih 2.0, penulis berpendapat bahawa dalam sistem demokrasi, mana-mana pihak boleh membuat apa saja cadangan atau tuntutan kepada kerajaan. Pada pandangan penulis itulah cuba yang dilakukan oleh Bersih yang telah mengemukakan lapan (8) tuntutan bagi penambahbaikan proses pilihanraya di negara ini.

Sama ada tuntutan itu wajar ataupun sebaliknya, itu soal lain. Begitu juga sama ada kerajaan patut menerima atau sebaliknya, itu bukan isu di sini. Persoalannya ialah Bersih berhak mengemukakan tuntutan tersebut. Itu sistem demokrasi yang diamalkan.

Adakah Bersih pertubuhan haram? Bersih bukanlah sebuah pertubuhan yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS). Sebaliknya, ia adalah gabungan 62 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Secara bersama, mereka menamakan gabungan tersebut sebagai Bersih.

Gabungan 62 buah pertubuhan bukan kerajaan yang menggelarkan diri mereka sebagai "Bersih" menyatakan secara terbuka mereka sedang melakukan mobilisasi untuk membawa penyokong-penyokong mereka turun melakukan demonstrasi di jalanan sebagai satu cara mengenegahkan tuntutan mereka. Inilah punca masalah.

Tidak dinafikan bahawa rakyat mempunyai hak untuk berhimpun. Namun pada masa yang sama, undang-undang juga memberikan hak kepada kerajaan (khususnya polis dan PBT) untuk menentukan sama ada perhimpunan itu bakal menimbulkan masalah kepada rakyat yang lain. Dengan maklumat yang ada, polis memutuskan perarakan di jalan raya dalam bentuk sedemikian boleh menimbulkan masalah dan menjadi ancaman kepada keselamatan. Maka, polis tidak membenarkan. Bukan setakat ini, Bersih juga tidak memohon permit untuk aktiviti sedemikian, walaupun badan-badan gabungannya ke sana-sini mempromosikan perhimpunan jalanan tersebut.

Bagi menyekat aktiviti sedemikian yang melanggar undang-undang dan boleh memberikan kesan kepada keselamatan negara, maka polis menahan dan menyoal-siasat mereka yang mempromosikan perhimpunan jalanan tersebut. Sesiapa saja yang melakukan promosi itu dalam bentuk tulisan (brosur, banner), perkataan (ucapan) atau gambar/imej (baju, logo), disiasat oleh polis.

Apabila ada permintaan dari Bersih untuk mengadap Yang Dipertuan Agong, maka baginda membenarkan. Ini membuktikan betapa baginda adalah penaung untuk semua rakyat - tanpa mengira agama atau bangsa. Selepas menghadap Yang Dipertuan Agong, Bersih bersetuju menerima tawaran Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak untuk berkumpul di dalam stadium. Penulis fikir tawaran itu adalah wajar kerana dengan cara ini penyokong Bersih dapat berkumpul (hak mereka) dan pada masa yang sama tidak menimbulkan masalah kepada orang lain.

Bagaimanapun, Bersih masih perlu memenuhi beberapa peraturan sebelum ia dibenarkan berbuat demikian. Antaranya ialah salah satu badan gabungan Bersih hendaklah membuat permohonan kepada pemilik stadium untuk menggunakan sesebuah stadium itu. Saya sebutkan "salah satu badan gabungan" kerana Bersih sendiri bukanlah persatuan, maka hanya persatuan yang sah saja boleh membuat permohonan itu. Pemilik stadium kemudiannya membuat keputusan sama ada membenarkan ia digunakan bagi tujuan itu atau pun sebaliknya.

Kedua, persatuan itu juga hendaklah memohon permit polis bagi mengadakan perhimpunan sedemikian. Penulis  fikir ini sepatutnya tidak menjadi masalah dengan syarat stadium yang hendak digunakan sesuai dengan jumlah kehadiran yang dijangkakan. Penulis difahamkan Bersih bercadang untuk membawa sekitar 80,000 orang penyokong ke perhimpunan itu. Sekiranya itulah jumlah, maka hanya ada dua saja stadium yang sesuai iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil, atau pun Stadium Shah Alam. Selain itu, penulis tidak lihat ada stadium lain yang sesuai bagi menampung jumlah penyokong yang ramai dan kemudahan tempat meletak kereta yang mencukupi.

Maka, apabila kedua-dua perkara itu dilakukan, maka berhimpun dan bersyarahlah sepuas hati. Selagi apa yang disyarahkan itu tidak melanggar undang-undang negara, maka biarkanlah. Kalau ada yang bersifat hasutan atau boleh menimbulkan ancaman keselamatan, maka pihak berkuasa hendaklah bertindak tegas.

Nasihat penulis ialah ikutilah undang-undang negara, bekerjasamalah dengan pihak polis dalam mengatur perhimpunan ini dan ikut arahan pihak berkuasa (termasuk PBT). Usah keras kepala dan merasakan diri mengatasi undang-undang. Sesiapa yang melanggar undang-undang ini, disumbat ke dalam penjara. Negara berdaulat, ada undang-undang. Kalau tak suka undang-undang ini, buatlah pindaan di Parlimen. Selagi ada undang-undang, patuh.


No comments:

Post a Comment