Tuesday, May 17, 2011

Sambutan 65 Tahun UMNO

Majlis Sambutan Ulangtahun UMNO Ke-65 yang disambut secara gilang-gemilang menjadi kebanggaan seluruh ahli-ahli UMNO yang telah berpeluang menghadirinya. Tempoh 65 tahun yang ditempuhi bukanlah satu tempoh yang singkat malah telah diwarnai dengan cabaran dan rintangan yang sentiasa menemani UMNO sepanjang 65 tahun penubuhannya. 


Umor 65 tahun tidak membawa apa-apa makna jika pengisiannya kosong dan gagal sama-sama dimanafaatkan oleh rakyat marhaen bawahan. Perayaan UMNO 65 tahun yang dihadiri seramai 2,000 orang tidak seharusnya menjadi kebanggaan kerana hanya dirayakan golongan tertinggi UMNO di ibu negara sahaja.


Perayaan yang dihadiri beberapa kerat perwakilan dari bahagian yang sebenarnya memperlihatkan UMNO masih elitis dan hanya bercampur sesama mereka sahaja. Golongan bawahan di negeri, bahagian, daerah, taman perumahan, kampong dan desa hanya sekadar memerhati kehebatan pemimpin mereka dari jarak jauh di dada akhbar dan kaca TV. Aktiviti-aktivi di bawah kesunyian, hanyalah sesekali dirangsangkan oleh adegan sex dari video sex pemimpin pembangkang.


Wajah-wajah hebat pemimpin atasan UMNO yang bersampin mahal dan berjamaah sesama ketua-ketua mereka di saf hadapan yang sebenarnya menjarakkan lagi elitis UMNO dan rakyat peringkat bahawan amnya pengundi di atas pagar. Seharusnya perayaan ini dirayakan di peringkat akar umbi untuk menzahirkan kekuatan UMNO di 'grassroot'.


Hakikatnya UMNO yang diambang kejatuhan ini masih tidak berubah. Kegagalan mereka dalam PRU12 tidak menjadi pengajaran. Ucapan-ucapan untuk membela,mendekati, memahami, menjiwai rakyat hanya retorik ketua-ketua atasan manakala yang di bawah masih terpisah jauh.

Usia 65 tahun mereka seharusnya lebih memahami urat nadi rakyat dengan sama-sama turun merayakan usia emas mereka di peringkat bawah, jangan hanya apabila tiba musim pilihanraya sahaja baru kelam-kabut tangkap muat untuk menganjurkan program rakyat.



Pada ketika itu sumbangan beras sekampit dihebah seperti emas segundi dan jika rakyat tak undi mereka jangan salahkan rakyat kerana tak kenang jasa mereka.


Hari ini terpampang iklan satu muka surat penuh Ulang Tahun UMNO Yg Ke65 tahun di dalam beberapa akhbar Melayu dengan slogan ‘UMNO MEMBELA RAKYAT’.  Iklan tersebut memaparkan wajah seri Presidennya DS Naijib yang kacak dan tampan nampak seperti keseorangan mohon dijauhkan kesunyian.

Paparannya sedikit kontradik dengan slogan “UMNO Membela Rakyat” di mana sepatutnya diletak visual-visual aktiviti UMNO membela rakyat dan bersama rakyat.  Malah yang lebih kontradik dan melucukan ialah hadiah sempena UMNO 65 tahun memerintah negara ini ialah dengan menaikkan harga gula sebanyak 20sen. 'Timing' nya tidak kena.



Umur 65 tahun bukan satu usia yang singkat dan tidak muda lagi, malah berbagai penyakit sudah dihinggapi seperti kata Pak Long di kampong penyakit tiga serangkai - jantung, darah tinggi dan kencing manis.

Pada usia 65 tahun gula itu tidak manis lagi malah gula adalah racun. Jika tidak dipantang makan gula penawar kepada kencing manis ialah dengan memotong kaki.  Bagi UMNO 65 tahun tidak harus dirayakan kerana UMNO harus melakukan ‘soul searching’, kudis-kudis buta di dalam baju harus dirawat sebelum menjadi pekung yang busuk dan bangkai yang bernyawa.

No comments:

Post a Comment